Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syarikat proses barangan lusuh gagal kawal pencemaran habuk didenda RM25,000

SHAH ALAM, 12 JAN: Sebuah syarikat memproses barangan lusuh logam didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan pencemaran habuk dan gagal memaklumkan mengenai tindakan yang telah diambil kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas syarikat Lennor Metal Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarah urusannya, Ng Yong Sheng, 29, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Rofiah dalam penghakimannya berkata walaupun mengambil kira rayuan yang dikemukakan OKS, kepentingan awam harus lebih diutamakan memandangkan syarikat itu dikesan gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan ketika pemeriksaan dilakukan agensi berkaitan.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu gagal mematuhi Perkara 3.1 dalam Notis Arahan Nombor Rujukan (B) B 38/200/012/019(5) bertarikh 14 Ogos 2018 iaitu memastikan langkah kawalan pencemaran habuk diadakan sewajarnya semasa pengendalian barangan lusuh logam di premis berkenaan.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan tidak lebih RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan yang diteruskan selepas menerima notis berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa tidak mematuhi Perkara 4.1 dalam notis arahan sama iaitu gagal memberi maklum balas berbentuk laporan bertulis, dokumen dan gambar berkaitan dengan tindakan yang telah diambil kepada JAS Selangor.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 37(2) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di Jalan Ladang Datuk Harun, Seksyen 36, di sini, jam 11.15 pagi, 5 Ogos 2019.

Bagi pertuduhan pertama, OKS didenda RM23,000 manakala pertuduhan kedua RM2,000.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam mengakui kesalahan berkenaan namun menyatakan syarikatnya telah membuat kerja-kerja mengawal pencemaran habuk dan memohon jumlah denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

Pegawai Pendakwa JAS Selangor, Nor Faizura Mohd Ali pula memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya demi kepentingan awam memandangkan premis syarikat itu berada berhampiran sebuah sekolah memandu di Seksyen 36.

– BERNAMA


Pengarang :