Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menyantuni petugas barisan hadapan menjalankan Saringan Bersasar Komuniti di Taman Bayu Perdana pada 3 Januari 2020. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
AGENDANASIONAL

Tambah segera petugas barisan hadapan, guna teknologi kesan kontak

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Persekutuan perlu menyegerakan tambahan petugas barisan hadapan untuk meningkatkan keberkesanan usaha mencegah Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata kecukupan petugas mempercepat proses ujian, kontak rapat, isolasi, kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit.

“Selangor sebagai negeri paling pesat dengan kepadatan penduduk, kegiatan industri, perniagaan dan tapak pembinaan pasti akan menanggung padah paling teruk.

“Seandainya semua proses ini lambat serta tergendala, maka kita gagal memutuskan rantaian wabak sekali gus menyebabkan kes terus melambung tinggi,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu turut menggesa kerajaan mengguna sepenuhnya kemampuan teknologi terkini untuk mengesan kontak rapat kes positif.

“Hari ini kita lihat pengesanan kontak rapat amat lambat kerana kita menggunakan tenaga manusia bukannya aplikasi digital,” katanya.

Pada 18 Januari perdana menteri mengumumkan pertambahan lebih 3,500 petugas kesihatan dengan peruntukan RM150 juta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penambahan kakitangan merangkumi penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.


Pengarang :