Pelajar tingkatan lima Syazwin Nisa Saiful Hizam (kanan) bersama rakannya Nurul Huda Sukor tekun mendengar pembelajaran secara dalam talian bersama guru di kedai makan milik ayahnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan pada 15 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Tambahan slot program TV Pendidikan calon SPM bermula esok – KPM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bermula esok, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan dalam program DidikTV@NTV7, khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan, mulai 22 Februari ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan slot tambahan itu melibatkan sesi selama dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari 3 hingga 5 petang di saluran NTV7.

“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang,” menurut KPM.

Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7.

KPM turut melahirkan keyakinan program TV Pendidikan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru dan ibu bapa sebagai antara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

– BERNAMA


Pengarang :