Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tarikh program kerjaya bergantung tempoh PKP – EXCO

SHAH ALAM, 16 JAN: Penganjuran Program Jelajah Selangor Bekerja 2021 bergantung kepada tarikh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pelaksanaan PKP bermula 13 sehingga 26 Januari serta pengisytiharaan darurat menjejaskan perancangan disusun Kerajaan Negeri pada tahun ini.

“Jelajah Selangor Bekerja merupakan program dinantikan orang ramai kerana menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta tahap kelulusan akademik.

“Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Majlis Keselamatan Negera (MKN) dari semasa ke semasa, sama-sama kita berdoa semoga PKP tidak akan dilanjutkan,” katanya kepada SelangorKini.

Program Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri pada tahun lalu menerima lebih 10,000 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada September.

Sebanyak 105 majikan menyertai program di Kuala Selangor, Gombak, Sungai Buloh, Hulu Langat dan Shah Alam.

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, penyelia pembaca meter, operator panggilan, pembantu jualan dan pemandu traktor terminal.

Pada 13 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 15,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Selangor pada 2021 menerusi pelbagai usaha menangani pengangguran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut adalah melaksanakan Program Selangor Kerjaya, Jom Kerja, Inisiatif Selangor Automotif TVET dan Selangor Freelancers.


Pengarang :