AGENDANASIONAL

Taska Genius Perpaduan dibuka berperingkat mulai hari ini

PUTRAJAYA, 3 JAN: Taska Genius Perpaduan di seluruh negara dibuka secara berperingkat bermula hari ini mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan Taska Genius Perpaduan di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu mula beroperasi hari ini, manakala di Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Daerah Jempol di Negeri Sembilan, akan dibuka esok.

Di Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan, taska berkenaan akan mula beroperasi pada 15 Januari.

Taska Genius Perpaduan di Labuan pula akan dibuka pada 11 Januari dan semua guru dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan bertugas seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan.

“Pembukaan Taska Genius Perpaduan diharapkan akan dapat membantu ibu bapa yang memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak-anak semasa mereka berada di tempat kerja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri.

– BERNAMA


Pengarang :