Kerajaan Melaka melancarkan kempen ‘Melakan Visit Melaka Packages 2020’ dalam usaha memastikan sektor pelancongan negeri itu tidak terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Terjejas teruk, penggiat pelancongan rayu bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) meminta kerajaan memanjangkan bantuan sedia ada dan yang baharu kepada penggiat industri pelancongan bagi membantu industri itu yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Presidennya Harun Kc Ahmmu berkata antaranya ialah melanjutkan subsidi upah dan moratorium bayaran pinjaman balik sehingga Disember 2021 bagi memastikan syarikat pelancongan dapat beroperasi setakat termampu.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga memohon disediakan pinjaman khas tanpa faedah dengan jangka masa bayaran balik lima tahun daripada pengisytiharan tamatnya wabak Covid-19 dan pengecualian bayaran lesen-lesen berkaitan pelancongan bagi 2021.

“Kami juga memohon pengecualian sewa hingga Jun bagi premis perniagaan milik kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Segala kursus wajib kepada semua agensi pelancongan seperti kursus pembaharuan lesen juga perlu dibatalkan sebagai satu daripada bantuan sokongan dan mengurangkan beban kewangan syarikat agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harun turut mencadangkan supaya pembaharuan permit van dan bas persiaran atau pelancongan dikecualikan dan tidak mengenakan sebarang caj terhadap proses pembaharuan permit sehingga sektor pelancongan kembali beroperasi.

Beliau berkata bantuan bersasar seperti yang diperincikan itu amat diperlukan untuk mempertahankan syarikat pelancongan menghadapi keadaan sukar ini.

“Semoga kerajaan dapat memberi perhatian khusus kepada semua pengiat industri pelancongan yang terkesan dengan ketaranya akibat pandemik Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :