AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Thaipusam disambut berbeza namun kekal bermakna – MB

SHAH ALAM, 28 JAN: Sambutan Thaipusam kali ini dipercayai lebih bermakna kepada penganut Hindu kerana merayakannya dengan kaedah berbeza dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika perayaan berkenaan, kebiasaannya mereka akan mengangkat kavadi sebagai tanda pengorbanan, kesetiaan serta mengharapkan doa diterima.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu memutuskan tiada acara sambutan kali ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Sebagai seorang beragama Islam, saya amat memahami kesukaran dihadapi masyarakat Hindu yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab agama mereka akibat situasi dihadapi kini.

“Itulah sebabnya saya percaya Thaipusam kali ini akan lebih bermakna kepada penganut Hindu, dalam waktu anda menunaikan tanggungjawab agama dengan kaedah sedikit berbeza,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata perayaan itu dikatakan antara yang terpenting bagi masyarakat Hindu dan Tamil di Selangor ekoran melihat sendiri kemeriahan sambutannya di seluruh Malaysia serta negara luar sejak bergelar wakil rakyat di Batu Caves.

“Kesemua mereka datang berkunjung untuk menaiki 272 anak tangga sebelum tiba di puncak gua Batu Caves, agar dapat memberi penghormatan kepada Dewa Murugan yang amat penting kepada orang Hindu.

“Sekali lagi, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan Selamat Hari Thaipusam kepada seluruh penganutnya di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam, V Ganabatirau memaklumkan tiada acara sambutan tahunan Thaipusam di Selangor pada hari ini bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti perayaan itu dan Ponggal diganti dengan program membantu masyarakat India menggunakan dana diperuntuk bagi tujuan berkaitan tahun ini.


Pengarang :