Suami isteri M. Ramachandran & S. Nalini mengadakan upacara keagamaan sempena Hari Thaipusam bersama empat anak secara sederhana di rumah di Taman Silibin Ria, Ipoh semasa tempoh PKP. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Thaipusam: Penganut Hindu doakan negara pulih daripada Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Lazimnya setiap kali sambutan Thaipusam, Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves akan dibanjiri lautan manusia terutama penganut Hindu dari seluruh negara, termasuk pelancong asing dari pelbagai negara.

Namun suasana sambutan tahun ini berbeza, kuil itu dikawal ketat polis hari ini, selain tidak ada sebarang sambutan di mana-mana kuil berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun begitu, Thaipusam tahun ini tetap diraikan penganut Hindu di rumah masing-masing dengan bersembahyang mendoakan negara segera pulih dari pandemik Covid-19, yang sudah lebih setahun melanda dunia dan merubah norma kehidupan sebelum ini.

Pekerja swasta, N.Kumari, 35, ketika dihubungi berkata beliau sekeluarga mandi serbuk kunyit sebelum bersembahyang di rumah dan menggunakan platform media sosial untuk menghantar ucapan Selamat Hari Thaipusam kepada rakan dan keluarga.

“Ramai yang mendoakan agar Covid-19 pupus hari ini. Setiap kali sambutan Thaipusam saya sekeluarga akan mandi kunyit di rumah sebelum ke kuil di Batu Caves untuk melihat perarakan kavadi dan penganut Hindu lain membayar nazar,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan terkini di akaun facebooknya, hari ini menyampaikan ucapan ‘Have a Safe and Happy Thaipusam’ kepada semua kaum Hindu yang menyambut Thaipusam.

Beliau turut mengingatkan semua supaya mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka dengan sempurna – menutup bahagian hidung, mulut dan dagu.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Arca Dewa Murugan dibawa dari kuil Jalan Bandar ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves semalam mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan termasuk tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi, pengikut tidak lebih daripada 10 orang, tiada muzik dan tiada pemerhati sepanjang jalan.

Tinjauan Bernama di kuil berkenaan di Batu Caves hari ini mendapati masih terdapat beberapa individu yang berdegil dan hadir ke kuil berkenaan, bagaimanapun mereka dilihat beredar setelah dinasihatkan oleh anggota polis.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee di sini menampal notis pada pintu kuil berkenaan bagi memaklumkan orang ramai mengenai penutupannya dan jalan itu yang biasanya dipenuhi penganut Hindu yang berarak ke kuil itu setiap kali Thaipusam, kelihatan lengang hari ini.

DI NEGERI SEMBILAN, B Suhashini, 27, dan keluarga yang biasanya berada di Batu Caves setiap kali menyambut Thaipusam, melakukan upacara sembahyang, memecahkan buah kelapa dan jamuan makan bersama ahli keluarga terdekat di rumahnya di Taman Putra, Batu Kikir, Jempol.

“Saya membayar nazar pada tahun ini sebagai tanda syukur dengan mencukur kepala anak lelaki saya yang berusia 15 bulan. Sepatutnya upacara mencukur rambut anak lelaki saya dilakukan di Batu Caves tetapi disebabkan PKP upacara itu hanya dilakukan di rumah. Rambut yang dicukur akan disimpan buat sementara waktu di rumah dan akan dibawa ke kuil di Batu Caves sekiranya tiada lagi larangan merentas negeri,” katanya.

Di PERAK, M. Ramachandran, 45, melakukan upacara keagamaan dengan bernazar dan berdoa di rumahnya di Taman Silibin Ria, Ipoh seawal 6.45 pagi bersama isteri dan empat anaknya.

Presiden Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh, M.Viveganantha pula berkata larangan sambutan Thaipusam di kuil yang berusia lebih 100 tahun dan terbesar di Perak itu merupakan kali kedua dalam sejarah, selepas kali pertama semasa negara diisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969.

Di SELANGOR, keluarga G.Parumal, 39, yang menjalankan perniagaan menjual dan menyewa kavadi berkata, walaupun tidak dapat bersembahyang di kuil, mereka sekeluarga bersyukur kerana dapat meraikan Thaipusam bersama di rumah dan turut berharap supaya pandemik Covid-19 berakhir.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama beliau tidak dapat menjual dan menyewa kavadi kepada penganut Hindu yang lain sejak memulakan perniagaan berkenaan sekitar 20 tahun lepas.

Di KEDAH tinjauan Bernama mendapati pintu pagar Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani ditutup selain terdapat beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkawal di pintu masuk kuil.

Menurut ahli jawatankuasa (AJK) kuil itu, K. Anbarasan penganut Hindu tidak dibenarkan bersembahyang di kuil itu selama tiga hari mulai semalam dan hanya AJK kuil sahaja dibenarkan bersembahyang hari ini dengan jumlah terhad kepada 15 orang dan maksima lima orang pada satu masa.

Di MELAKA pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam mengambil inisiatif mengadakan siaran langsung upacara sembahyang sambutan Thaipusam menerusi laman sosial Facebook.

Pengerusi kuil, V Manokaran berkata sejak semalam orang ramai mula menghantar bunga dan susu di pintu pagar kuil untuk menunaikan nazar masing-masing.

Sementara itu di PULAU PINANG; Jalan Air Terjun yang biasanya sesak dengan orang ramai apabila tiba sambutan Thaipusam, kali ini ia terus lengang.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa penganut Hindu dilihat berkumpul di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani melakukan upacara sembahyang di luar pintu gerbang sebelum meninggalkan kuil itu apabila ia mula ditutup.

Beberapa notis ditempatkan di luar kuil memaklumkan bahawa tiada aktiviti Thaipusam hari ini, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

– BERNAMA


Pengarang :