Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Thaipusam: Tiada pelanggaran SOP dilapor – polis

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pada sambutan Thaipusam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bagi mengekang penularan Covid-19, adalah memuaskan dan setakat ini tiada laporan pelanggaran SOP diterima di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penganut agama Hindu yang menyambut Thaipusam didapati mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung jangkitan Covid-19 dengan tidak mengadakan perarakan keagamaan.

“Tiada laporan daripada pasukan pemantau kami mahupun laporan orang awam yang mengatakan ada perhimpunan atau sembahyang beramai-ramai kerana SOP MKN memang jelas ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Setakat ini di seluruh negara tiada pihak yang berdegil ingin melakukan sambutan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Di SELANGOR, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pula berkata sejak semalam tiada kompaun dikeluarkan di Selangor berikutan semua pihak yang terlibat dalam perayaan itu mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Hanya tiga kompaun yang dikeluarkan berhubung kesalahan lalu lintas tetapi tiada kompaun untuk pelanggaran SOP,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawalan pematuhan PKP di Kuil Sri Subramaniar Swarni, Batu Caves di sini.

Di PERAK Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata setakat ini keadaan pada hari perayaan Thaipusam di Perak terkawal dan tiada pelanggaran SOP dikesan termasuk tiada pergerakan pedati seperti kebiasaan di kawasan kuil.

Suami isteri M. Ramachandran & S. Nalini mengadakan upacara keagamaan sempena Hari Thaipusam bersama empat anak secara sederhana di rumah di Taman Silibin Ria, Ipoh semasa tempoh PKP. Foto Facebook BERNAMA

“Kami menempatkan pasukan pemantau di lokasi tertentu dan tiada masalah setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Di PULAU PINANG, pemeriksaan dan tinjauan polis di semua kuil yang sering menjadi tumpuan penganut Hindu ketika sambutan Thaipusam iaitu di Jalan Air Terjun, di sini mendapati orang ramai tidak mengunjunginya untuk bersembahyang di situ.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata polis menjalankan pemantauan dan pemeriksaan seawal 6 pagi di semua kuil di negeri itu dan mendapati penganut Hindu mematuhi SOP yang ditetapkan ketika PKP.

“Berdasarkan pemantauan polis, ada juga kuil-kuil yang tidak dibuka langsung hari ini manakala kuil yang dibuka pula tiada upacara sembahyang dijalankan membabitkan orang ramai, hanya membabitkan (upacara sembahyang) jawatankuasa (kuil) sahaja iaitu tidak lebih lima orang.

“Upacara sembahyang oleh penganut Hindu dijalankan di rumah masing-masing dan ia berjalan lancar dan saya lihat penganut Hindu mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika menyambut Thaipusam tahun ini,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA


Pengarang :