AGENDANASIONAL

Tidak tutup sektor jangkitan tinggi Covid-19 penyebab PKP dilanjut

SHAH ALAM, 25 JAN: Tindakan kerajaan tidak menutup sektor punca jangkitan tinggi Covid-19 menyebabkan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu memberi kesan kepada jutaan rakyat yang sedang memainkan peranan membendung wabak itu.

“Sekiranya kerajaan mengakui bahawa jangkitan berlaku dalam kalangan pekerja asing dan di asrama, maka atas alasan apa langkah PKP berjaya kurangkan kadar penyebaran virus di sektor itu.

“Tambahan pula PKP kali ini juga tidak menyekat secara spesifik sektor tersebut,” kata ketua pembangkang semasa secara langsung di Facebook hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson berkata kadar penularan dalam kalangan pekerja asing dikesan sejak lebih empat bulan lalu namun syarikat dan kilang masih operasi tanpa dikenakan hukuman.

Katanya terdapat banyak laporan menyatakan berlakunya pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) di asrama pekerja asing.

“Kerajaan mempunyai masa yang cukup untuk pantau atau kuatkuasakan SOP seperti negara Singapura yang melaksanakan ujian besar-besaran dalam kalangan pekerja asing mereka,” katanya.

Anwar berkata surat pada 23 Januari lalu daripada EUMalaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) kepada anggotanya menyatakan kerajaan berhasrat mengumumkan penutupan atau sekatan penuh sesegera mungkin selepas 4 Februari.

Surat itu merujuk mesyuarat 22 Januari oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menjelaskan kepada wakil industri bahawa Kementerian Kesihatan mengenalpasti sektor pembuatan sebagai sektor utama penularan Covid-19.


Pengarang :