AGENDANASIONAL

TM: Trafik internet meningkat 15 peratus semasa PKP 2.0

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Telekom Malaysia (TM) mencatatkan peningkatan penggunaan trafik Internet keseluruhan sebanyak 15 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua mula dilaksanakan pada 13 Jan, 2021 berbanding semasa PKP pertama pada Mac 2020.

Menurut TM, susulan penguatkuasaan PKP 2.0 kebanyakan rakyat Malaysia amat bergantung kepada kesambungan Internet untuk komunikasi dalam talian agar kekal terhubung dan produktif semasa bekerja dan belajar di rumah, sekali gus mendorong lonjakan penggunaan data yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memiliki kapasiti dan kesambungan jaringan yang pelbagai di seluruh negara dan dunia untuk menyokong lonjakan permintaan yang besar dan segera terhadap jalur internet, hasil daripada usaha pengoptimuman jaringan berterusan kami.

“Perkongsian sedia ada kami dengan syarikat teknologi utama dunia dan jaringan sosial dalam mengendalikan kandungan Internet di Malaysia juga memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik semasa mengakses aplikasi dan kandungan,” katanya kepada Bernama melalui e-mel, di sini.

TM menjelaskan industri telah bergabung untuk menyokong inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan menawarkan pakej data mudah alih istimewa untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Pakej ini juga telah diperluas kepada penuntut institusi pengajian tinggi berusia di bawah 22 tahun menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

“Pakej istimewa ini menawarkan pas data LTE 15GB pada harga RM20 sahaja dan tersedia sehingga 30 April, 2021. Semua syarikat telekomunikasi juga memperluas data Internet 1GB tambahan percuma setiap hari, sah selama 24 jam sehari bagi tempoh yang sama,” menurutnya.

Menurut TM, industri ini juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar percuma di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih untuk calon SPM dan STPM 2021.

“Sejumlah 130 PPR yang terlibat dalam projek ini di seluruh negara, antaranya, 59 akan diuruskan oleh TM,” jelasnya.

Selain itu, TM kini menyediakan fleksibiliti lebih besar melalui penawaran pelan ‘unifi Your World’, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kandungan televisyen, mudah alih dan Internet pelanggan.

Melalui tawaran yang disesuaikan ini, pelanggan boleh memilih pilihan jalur lebar kediaman dan menggabungkannya dengan pelan data mudah alih 4G LTE tanpa had, pek hiburan dari unifi TV dan peranti seperti unifi ‘Plus Box’ atau ‘Mesh Wi-Fi’.

– BERNAMA


Pengarang :