Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Top Glove komited vaksin pekerja termasuk warga asing

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Top Glove Corporation Bhd komited untuk memberikan vaksin kepada semua kakitangannya, termasuk pekerja asing, sebaik sahaja vaksin Covid-19 diperoleh.

Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata langkah itu adalah untuk memastikan pengeluaran tidak terganggu bagi tempoh jangka masa panjang selain memastikan kesihatan fizikal dan mental pekerjanya dalam usaha mencapai kedudukan kewangan syarikat yang baik.

“Kami masih menunggu vaksin daripada kerajaan dan kami akan sangat gembira untuk memastikan kakitangan kami menerima vaksin kerana kami mempunyai lebih 21,000 pekerja di 47 kilang dan 750 barisan pengeluaran setakat Disember 2020,” katanya dalam kunjungan hormat secara maya bersama Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Golam Sarwar dan Kaunselor Buruh Kedutaan Nepal Deepak Dhakal, hari ini.

Lim berkata syarikat itu terus melabur bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih baik di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Johor untuk pelan pertengahan penggalnya dengan perbelanjaan modal sebanyak RM195 juta bagi meningkatkan kebajikan pekerja asing.

“Kami sedang membina dan membeli asrama pekerja baharu, dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan yang dijangka siap menjelang 2023,” katanya.

Selain itu, beliau berkata syarikat tersebut menyasar untuk menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang 2030 dengan pertumbuhannya meningkat kepada 10 kali ganda, mencapai pendapatan jualan US$30 bilion dan menambah kilang kepada 150 dengan 100,000 pekerja.

“Pelan jangka panjang ini boleh dicapai melalui teknologi dan inovasi, penyelidikan dan pembangunan, serta kecerdasan buatan dan manusia, disokong oleh 10,000 tenaga kerja global, penyelidik dan graduan universiti,” katanya.

Sementara itu, Sarwar berharap Top Glove akan terus memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya, khususnya pekerja asing, dan memastikan mereka dilindungi dan diberi vaksin, terutamanya dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

Keuntungan bersih Top Glove melonjak lebih 20 kali ganda kepada RM2.38 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2021 berakhir 30 Nov 2020 (Suku Pertama Tahun Kewangan 2021) daripada RM111.43 juta pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2020.

Pengeluar sarung tangan utama dunia itu sebelum ini terlibat dalam isu berkaitan kesejahteraan pekerja dan ketidakpatuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Syarikat ini juga menjadi tumpuan ramai selepas ia menjadi kluster Covid-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Teratai.

Pada 3 petang, saham Top Glove meningkat 0.45 peratus kepada RM6.67.

-BERNAMA


Pengarang :