Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Tragedi Triso: Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai – polis

KUCHING, 2 JAN: Kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini semalam, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai itu dan mengorbankan sembilan nyawa yang berada di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John berkata 4WD jenis Ford Ranger yang dipandu oleh seorang wanita, Ronany Ting, 33, itu dalam perjalanan dari Kapit menuju ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal pergerakan kenderaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas dan menggelongsor jatuh ke dalam (Sungai) Batang Lupar,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Keadaan pacuan empat roda yang terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar yang mengorbankan sembilan nyawa pada 1 Januari 2020. Foto Facebook

Menurutnya orang ramai yang berada di kawasan jeti itu sempat mengikat kenderaan berkenaan dengan rantai besi dan menariknya bagi menghalang 4WD tersebut tenggelam sebelum bertindak mengeluarkan kesemua mangsa.

“Siasatan punca kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Sri Aman). Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat,” katanya.

Selain Ronany, tragedi kira-kira 3 petang itu turut mengorbankan lapan lagi penumpang iaitu Siti Aisha Abdullah, 36; tiga remaja yang dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7 dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

– BERNAMA


Pengarang :