Nilai hartanah yang masih berpatutan dan jaringan lebuh raya utama menjadi tarikan orang ramai untuk membeli kediaman di Shah Alam. Foto SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Trend pasaran hartanah beralih kepada pinggir bandar

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Lebih ramai yang kini mencari rumah di kawasan pinggir bandar dan keadaan ini menjadikan permintaan dan harga hartanah kediaman di dalam bandar turut menurun, menurut iProperty.com.my.

Jurucakap dan Pengurus Besar REA Group Asia (Penyelesaian Data Pelanggan), Premendran Pathmanathan memetik laporan ‘2020 Property Demand Analytics’ portal hartanah itu berkata Shah Alam dan Seremban mencatatkan permintaan positif masing-masing pada +1.7 peratus dan +0.9 peratus.

Selain itu, iProperty mendapati permintaan perumahan di pusat bandar raya Kuala Lumpur susut 8.9 peratus dengan penguncupan modal 11 peratus, sementara di Georgetown juga merosot 11.9 peratus dengan penurunan modal 8.7 peratus.

“Trend beralih kepada pinggir bandar ini disebabkan terutama perjalanan ulang-alik berkurangan memandangkan lebih ramai bekerja dari rumah dan ingin mencari rumah yang lebih besar dan lebih selesa.

“Antara kawasan yang mempunyai daya tarikan ialah Kepala Batas di Pulau Pinang; Muar di Johor dan Puncak Alam di Selangor,” katanya semasa membentangkan analisis iProperty secara maya hari ini.

Menurut laporan itu, permintaan nasional terhadap hartanah subjualan pada 2020 turun 1.3 peratus tahun ke tahun manakala permintaan untuk hartanah bertingkat tinggi berkurangan seiring dengan harga, sementara permintaan bagi rumah teres tetap positif pada pertumbuhan modal 2.6 peratus.

Premendran berkata setakat Disember 2020, kunjungan unik kepada portal iProperty untuk senarai hartanah subjualan mengalami peningkatan semula iaitu 85 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Beliau berkata pergerakan positif juga didapati dicatatkan bagi pinjaman rumah yang dimohon, dengan kunjungan pengguna melonjak kepada iProperty.com.my sejajar dengan kenaikan nilai pinjaman rumah yang dimohon pengguna Malaysia pada November 2020, berdasarkan data nasional rasmi.

“Memandangkan ramai yang turut menghadapi cabaran pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan, minat terhadap hartanah dalam senarai harga berjulat lebih rendah juga berkurangan, oleh yang demikian, berlaku penurunan kunjungan pada portal.

“Kami juga berharap inisiatif yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2021, termasuk mengurangkan kos pendahuluan, akan dapat membantu terutama pembeli kali pertama supaya mereka mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dan meningkatkan peluang untuk permohonan pinjaman mereka diluluskan,” katanya.

Beliau berkata kos pendahuluan itu seperti pengecualian duti setem dan pengecualian fi guaman, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain penurunan kadar dasar semalaman kepada 1.75 peratus.

Dalam melangkah maju, beliau berkata permintaan hartanah subjualan dijangka kekal mencabar pada separuh pertama 2021 kerana peningkatan ketara kes Covid-19 selain PKP 2.0 yang mengehadkan pergerakan orang.

“Memandangkan ekonomi amat berkait dengan mobiliti, ramai yang mungkin tidak dapat mencari rumah dan ini dijangka melembapkan pasaran hartanah.

“Peraturan seperti mengehadkan kunjungan pembeli berpotensi ke pangsapuri dan kondominium juga menyumbang kepada keadaan itu,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, iProperty yakin pasaran hartanah akan pulih setelah pelaksanaan program vaksin Covid-19, yang dapat membantu meningkatkan ekonomi.

– BERNAMA


Pengarang :