Selangorkini
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ujian RTK-Ag perlu dibuat seminggu selepas muncul gejala – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Penggunaan kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 perlu dikendalikan oleh individu terlatih, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata untuk mendapatkan keputusan yang tepat, ujian RTK-Ag perlu dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari pertama setelah wujudnya gejala.

“Lebih spesifik untuk kelompok baharu dengan kadar jangkitan positif yang tinggi dan apabila kajian keseirasan menunjukkan tahap kespesifikan yang tinggi.

“Disarankan pengesahan ujian RTK-Ag, apabila sistem kesihatan dibebani. Kepekaan alat ujian (untuk RT-Ag) mestilah lebih dari 80 peratus dan kespesifikan melebihi 97 peratus,” katanya menerusi catatan Twitternya hari ini yang menyenaraikan lima cadangan umum untuk ujian RTK-Ag bagi pengesahan kes Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata kit ujian RTK-Ag digunakan ketika tempoh masa, teknik Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT PCR) lebih dari 48 hingga 72 jam atau jika ujian RT PCR tidak dapat diperoleh.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa Malaysia adalah antara beberapa negara pertama di dunia yang menggunakan RTK-Ag untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menggunakannya sejak Jun tahun lepas.

Kit berkenaan telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan pematuhan terhadap standard yang diperlukan dan kemudian diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk penggunaan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat.

Muhyiddin berkata, kit ujian RTK-Ag digunakan sebagai ujian pengesahan di Sabah sejak 5 Oktober tahun lepas sehingga 14 Januari dengan 365,740 ujian RTK-Ag dijalankan dan pengesan kadar positif 3.75 peratus, sekali gus telah memudahkan usaha KKM dalam menguruskan wabak di negeri itu.

Penggujian massa kit ujian RTK-Ag juga telah digunakan untuk menguruskan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing di negara ini, kata Muhyiddin.

– BERNAMA

https://twitter.com/DGHisham/status/1352451309769617411?ref_src=twsrc%5Etfw

 


Pengarang :