AGENDAGLOBAL

Ulama terkenal Indonesia Syekh Ali Jaber meninggal dunia

JAKARTA, 14 JAN: Ulama terkenal di Indonesia, Syekh Ali Jaber meninggal dunia di Rumah Sakit Cempaka Putih, Jakarta, ketika dilaporkan sedang menjalani rawatan Covid-19.

Bagaimanapun punca kematian Syekh Ali Jaber atau nama sebenarnya Ali Saleh Mohammed Ali Jaber, 44, belum diketahui selepas ada laporan menyatakan Allahyarham negatif virus itu sebelum meninggal dunia.

Menurut hantaran Instagram yayasan.syekhalijaber, pendakwah bebas yang popular di aplikasi Instagram, YouTube dan TikTok serta sering muncul di pelbagai stesen televisyen tempatan itu meninggal dunia pada 8.30 pagi tadi.

“Benar Syekh Ali wafat. 08.30 WIB (waktu Indonesia Barat), sudah dalam keadaan negatif Covid. Di RS Cempaka Putih, Jakarta,” menurut rakan Allahyarham, Ustaz Yusuf Mansur dalam hantaran Instagram tersebut.

Allahyarham Syekh Ali Jaber berketurunan Arab yang lahir di Madinah, Arab Saudi itu berkahwin dengan Umi Nadia yang berasal dari Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2008 sebelum mendapat taraf kewarganegaraanrepublik tersebut pada 2012.

Pada 13 September 2020, Syekh Ali Jaber ditikam seorang lelaki ketika sedang berceramah di Masjid Falahuddin, Sukajawa, Bandar Lampung.

– BERNAMA


Pengarang :