Jururawat menyediakan dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 kepada kakitangan perubatan di Nouvel Hopital Civil, Strasbourg, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Vaksin langkah terbaik cegah Covid-19 – pakar KKM

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Di sebalik kebimbangan terhadap vaksin baharu dalam memerangi wabak Covid-19, seorang pakar perubatan berpendapat vaksin itu adalah jalan penyelesaian terbaik dalam menangani wabak itu, yang tiada rawatan khusus lain baginya setakat ini.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Kalairasu Peariasamy berkata, penemuan vaksin itu merupakan satu mencapaian penting dalam memerangi jangkitan virus itu, yang meragut nyawa hampir tiga juta orang di seluruh dunia sejak 12 bulan lepas.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan oleh Norwegian Medicines Agency (NMA), berkenaan kes kematian warga emas yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech di Norway, dalam program Agenda Awani terbitan Astro Awani dengan topik ‘Isu Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin’.

Rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan keselamatan dan keberkesanan vaksin yang bakal digunakan, kerana Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM meneliti setiap laporan daripada pengeluar vaksin, sebelum diluluskan penggunaannya.

“Kita tahu daripada kajian dan laporan, sebilangan penerima vaksin sebenarnya dapat reaksi demam atau lesu badan, mungkin sebab keuzuran, mereka juga ada penyakit kronik, mereka sebenarnya maut akibat komplikasi daripada usia lanjut mereka.

Malaysia dijadualkan menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada akhir Februari ini, dan memperoleh kelulusan bersyarat daripada NPRA.

Dr Kalairasu berkata vaksin itu menjalani ujian klinikal tiga fasa, yang harus mematuhi peraturan ketat sebelum sesuatu bahan atau produk boleh diguna pakai pada manusia.

“Juga dalam fasa dua dan tiga, mereka telahpun memberikan vaksin itu kepada lebih daripada 40,000 orang yang merangkumi umur daripada 16 sampailah kepada umur 80 tahun,” katanya.

Berhubung keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap mutasi atau varian baharu Covid-19 yang sering dikaitkan dengan B117 (varian United Kingdom ) yang lebih cepat merebak, beliau berkata vaksin sedia ada itu, memadai.

“Apa yang diperhatikan daripada tindak balas yang kita dapat daripada vaksin Pfizer buat masa ini cukup untuk mutasi ini juga. Walaupun demikian, kajian selanjutnya masih dilakukan pihak Pfizer dan untuk yang menerima vaksin ini tidak perlu bimbang, kerana tindak balas daripada vaksin ini cukup untuk beri imuniti terhadap varian mutasi juga.

“Juga (imuniti) terhadap mutasi lain yang mungkin timbul, tetapi pada dasarnya semua platform yang digunakan untuk kajian penyakit Covid-19, nampak cukup untuk melawan penyakit itu daripada segi mutasinya juga,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :