ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar meninjau isu penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 31 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat mahu KPKT selesai segera isu PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 31 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa melantik segera kontraktor penyelenggaraan baharu bagi menyelesaikan isu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

Wakil rakyat Seri Setia berkata penamatan perkhidmatan kontraktor lama pada akhir Disember lalu menimbulkan masalah pengurusan sampah pukal dan longkang tersumbat selain kerosakan infrastruktur bangunan.

Halimey Abu Bakar menjelaskan ketiadaan kontraktor syarikat Intra Harta Sdn Bhd itu juga menjejaskan kehidupan hampir 6,000 penghuni di lapan blok bangunan terbabit yang terpaksa menghidu bau busuk.

Longgokan sampah yang tidak terkawal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 31 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita menerima aduan bahawa keadaan di PPR ini agak kritikal selepas terbiar hampir sebulan berikutan tiada kontraktor yang menggantikan peranan tersebut.

“Sepatutnya hal seperti kutipan sampah pukal di bawah selenggaraan kontraktor lantikan KPKT memandangkan sampah domestik sudah diurus oleh KDEB Waste Management (KDEBWM),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Halimey berkata pihaknya akan menghantar surat kepada kementerian berkenaan untuk memohon tindakan sewajarnya.

“Kita menjangka kontraktor dilantik bulan ini tetapi masih belum apa-apa perkembangan sehingga banyak aduan dibangkitkan penduduk setiap hari.

“Saya berharap KPKT bantu selesaikan isu dan jika tiada lantikan baharu, sekurang-kurangnya lantik kontraktor sementara yang boleh menguruskan PPR setiap bulan,” katanya lagi.


Pengarang :