Warong Rider diwujudkan bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil menyasarkan lebih 11,000 ‘rider’. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Warong Rider sasar penyertaan 11,000 penunggang

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Platform servis penghantaran Warong Rider yang diwujudkan bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil, menyasarkan lebih 11,000 ‘rider’ atau penunggang di seluruh negara untuk menyertai platform tersebut menjelang hujung tahun ini.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata sehingga kini, platform tempatan itu menerima pendaftaran sebanyak 3,500 penunggang sejak dilancarkan pada 18 Nov tahun lepas.

“Sebelum ini, penjaja dan peniaga kecil menggunakan platform oleh syarikat multinasional dan kosnya mahal. Menerusi platform kita, pengguna dan peniaga mendapat situasi menang-menang dan harga makanan atau barangan boleh didapati dengan lebih murah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Warong Rider yang turut menyasarkan kawasan luar bandar, kini beroperasi di 20 hab antaranya di Gombak, Bandar Tun Razak dan Serdang selain bercadang menambah lebih 30 hab pada masa akan datang.

Mohamed Zamri berkata platform servis penghantaran dilihat memainkan peranan penting terutama dalam menyesuaikan situasi kebiasaan baharu susulan COVID-19.

Platform Warong Rider yang menawarkan khidmat penghantaran bagi penjaja dan peniaga kecil merupakan antara Program Micro Connector iaitu inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama GPPPKMM.

Terdahulu, Mohamad Zamri menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV menerusi Skype, membincangkan tentang situasi peniaga dan penjaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu lepas hingga 26 Januari ini.

– BERNAMA


Pengarang :