Sebahagian pekerja wanita Top Glove yang beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 24 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

10 kluster baharu dikesan, dua di Selangor babit tempat kerja

SHAH ALAM, 13 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 10 lagi kluster baharu Covid-19, dua daripadanya di Selangor membabitkan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Lebuh Keluli tercetus di Klang, Petaling dan Kuala Langat manakala kluster Industri Selesa di Petaling.

“Kes kluster Lebuh keluli dilaporkan positif bermula 29 Januari hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Selatan, Jalan Keluli, Seksyen 7 Shah Alam.

“Sehingga hari ini, 132 daripada 664 individu yang disaring disahkan positif,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata kluster Industri Selesa pula dikesan positif hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong.

Katanya, seramai 15 individu diuji positif wabak daripada 856 yang disaring.

Perincian lapan kluster lain dalam negara:

1. Kluster Persiaran Synergi Utama – kluster tempat kerja melibatkan Kulai dan Kota Tinggi di Johor

2. Kluster Jalan i-Park Satu – kluster tempat kerja melibatkan Kulai dan Johor Bahru di Johor

3. Kluster Jalan Lengkok Satu – kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru di Johor

4. Kluster Tapak Bina Lorong Peel – kluster tempat kerja melibatkan Cheras di Kuala Lumpur

5. Kluster Tapak Bina Jalil Utama – kluster tempat kerja melibatkan Cheras di Kuala Lumpur

6. Kluster Persiaran Bunga Tanjung – kluster tempat kerja melibatkan Seremban dan Rembau di Negeri Sembilan

7. Kluster Bukit Tengah – kluster tempat kerja melibatkan Dungun dan Kemaman di Terengganu

8. Kluster Jalan Tun Razak – kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan Lembah Pantai, Titiwangsa, Cheras dan kepong di Kuala Lumpur


Pengarang :