Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menziarah dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada keluarga pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip. Foto Facebook Dzulkefly Ahmad
BERITA UTAMASELANGOR

10 pendayung sampan santuari kelip-kelip terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 FEB: Keluarga pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima bantuan bakul makanan dari Ahli Parlimen Kuala Selangor, baru-baru ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sumber pendapatan keluarga berkenaan terjejas ekoran tiada pelawat ke pusat pelancongan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 10 keluarga menerima bantuan makanan ini, selain menyerahkan bantuan, ziarah kali ini juga membolehkan saya melihat keadaan kesihatan keluarga mereka terutamanya warga emas.

“Semoga pemberian bakul makanan ini dapat membantu meringankan belanja dapur keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Dzulkefly yang juga pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menasihatkan orang ramai terus patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Semoga keadaan akan pulih seperti sedia kala kerana kesan amat ketara terutamanya mereka yang bergantung kepada upah harian dan hasil laut,” katanya.


Pengarang :