Selangorkini
Penduduk sekitar Pelabuhan Klang hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan Serbaguna MPK, Pendamar Indah 2, Klang pada 27 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 dijangka jalani Saringan Komuniti di Pendamar Indah

PELABUHAN KLANG, 27 FEB: Seramai 1,000 individu dijangka menjalani Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata cuti hujung minggu memberi peluang kepada penduduk memanfaatkan program saringan bersasar percuma anjuran Kerajaan Negeri bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Memandangkan program diadakan pada Sabtu, diharap sasaran ini boleh dicapai berbanding saringan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dijalankan pada hari bekerja.

“Orang ramai khususnya di sekitar Pelabuhan Klang dinasihatkan hadir menjalaninya sebagai usaha mengekang penularan Covid-19,” kata Azmizam Zaman Huri di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Proses saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan dikawal rapi anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam) bagi memastikan penduduk hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, Azmizam mengingatkan penduduk supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak itu sangat berbahaya dan sekiranya semua bekerjasama hasrat Selangor menyasar sifar kes mampu dicapai.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung perebakan wabak yang dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat.

Program hari ini dijalankan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, Shah Alam. Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.


Pengarang :