Jururawat menyediakan dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 kepada kakitangan perubatan di Nouvel Hopital Civil, Strasbourg, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

115 sukarelawan disuntik vaksin kajian klinikal Covid-19

MERSING, 1 FEB: Seramai 115 sukarelawan telah menerima suntikan vaksin bagi kajian klinikal fasa ketiga Covid-19 melibatkan sembilan hospital di lima negeri setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata mereka merupakan kumpulan terawal daripada 3,000 sukarelawan yang merangkumi individu berusia 18 tahun ke atas dan memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan.

Katanya hospital yang dijadikan tapak kajian di bawah seliaan Institut Penyelidikan Klinikal itu ialah Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh di Selangor, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim di Kedah, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping di Perak serta Hospital Umum Sarawak.

“Program baru saja bermula tiga hari lalu selepas perdana menteri mengumumkan tarikh (kajian) pada akhir bulan ini yang akan dilaksanakan selama 13 bulan.

“Seterusnya, ada pemantauan berterusan bagi melihat keberkesanan, keselamatan dan kualiti vaksin yang dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi seorang kanak-kanak penghidap ‘cystic hygroma’ di Kampung Semaloi, Endau di sini semalam.

Dr Adham berkata sukarelawan selebihnya dijangka menerima suntikan secara berperingkat dalam tempoh empat minggu.

Kajian klinikal fasa ketiga itu adalah kerjasama di antara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China.

– BERNAMA


Pengarang :