Penduduk sekitar Shah Alam menjalani saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Tanjung Seksyen 19, ,Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

17 individu positif Covid-19 Saringan Komuniti Shah Alam

SHAH ALAM, 18 FEB: Seramai 17 individu dikesan positif Covid-19 menerusi saringan komuniti percuma di Seksyen 19 Shah Alam semalam, kata EXCO kesihatan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, bagaimanapun jumlah itu hanya 2.2 peratus dari jumlah keseluruhan individu yang disaring iaitu 729.

“Namun begitu, kesemua mereka yang didapati positif akan disaring sekali lagi menggunakan Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT PCR).

“Kes positif ini akan dimaklumkan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka akan menentukan sama ada pesakit berkenaan boleh dikuarantin di rumah atau terus di bawa ke pusat kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata saringan komuniti kali ini menggunakan kaedah pendaftaran menerusi aplikasi Selangkah.

Menurutnya, penggunaan aplikasi itu lebih mudah serta menjimatkan masa orang ramai yang hadir menjalani saringan percuma berkenaan.

“Menerusi hebahan dilakukan, individu yang ingin menjalani saringan perlu berminat membuat pendaftaran awal dan ketika sampai di dewan saringan, mereka hanya perlu tunjukkan kod QR pada aplikasi terbabit.

“Malah, keputusan saringan juga akan dimaklumkan menerusi Selangkah dalam tempoh 24 jam. KKM juga akan mengetahui status individu positif pada masa sama tanpa datanya ditangguh sehingga dua hingga ke tiga hari,” katanya.

Semalam saringan komuniti dijalankan di Dewan Seksyen 19 Shah Alam dan diteruskan ke Pandamaran Jaya hari ini.

Pada Sabtu ini saringan tersebut dijadual berlangsung di Dewan Melati Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 7 dan kemudiannya di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya Kampung Lindungan PJS 6 pada Ahad.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan wabak.


Pengarang :