ADNSELANGOR

200 unit tablet untuk anak B40 DUN Seri Setia

PETALING JAYA, 1 FEB: Sebanyak 200 unit tablet bakal diagih kepada murid kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mulai bulan ini.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata pihaknya, akan menyemak permohonan dibuat dengan teliti bagi memastikan pelajar yang menerima bantuan itu benar-benar layak.

“Kita faham bahawa anak-anak memerlukan kemudahan tersebut ketika ini untuk mengikuti pembelajaran dalam talian namun pertimbangan bergantung pada permintaan selain memenuhi kriteria tertentu.

“Sehingga kini, kita sudah menerima 10 permohonan untuk diteliti sebelum diedarkan,” katanya pada sidang media berhubung isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini semalam.

Beliau berkata kelulusan mengambil kira status pelajar iaitu daripada golongan berpendapatan rendah (B40), ibu bapa memiliki tanggungan ramai dan hanya bapa yang bekerja dalam keluarga.

“Justeru, kita berharap bantuan ini nanti dapat meringankan beban ibu bapa sekali gus memudahkan proses pembelajaran anak mereka,” katanya.


Pengarang :