Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Osem, Dato’ Abdul Radzeen (tengah) menyerahkan cek cura kepada wakil penerima dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Melayu Subang pada majlis Pelancaran Pakej Osem di Pusat Khidmat Rakyat Seksyen 8, Kota Damansara pada 11 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

267 pelajar SRAI Kampung Melayu Subang terima manfaat ulang kaji dalam talian

KOTA DAMANSARA, 12 FEB: Seramai 267 pelajar kurang berkemampuan daripada Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Kampung Melayu Subang terima manfaat penggunaan aplikasi ulang kaji Osem.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Misni Mohd Dahlan berkata beliau berharap aplikasi itu dapat membantu meningkatkan mutu pembelajaran.

“Kita hargai inisiatif Ahli Parlimen Sungai Buloh (R Sivarasa) sudi bantu memberi aplikasi secara percuma selama setahun khusus buat golongan kurang berkemampuan.

“Semoga kemudahan ini juga dapat meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi Osem semalam.

Mengulas sama ada ketiadaan gajet menjadi halangan, Misni berkata pelajar terbabit rata-ratanya mempunyai peranti elektronik sendiri selain turut mendapat tajaan daripada wakil rakyat serta PIBG.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Aplikasi Osem, Dato’ Abdul Radzeen berkata platform yang ditubuh sejak dua tahun lalu itu telah membantu lebih 200,000 pelajar.

“Menariknya mengenai aplikasi ini adalah pelajar akan diberi ganjaran seminggu sekali jika mereka berjaya mencapai sasaran. Selain itu, kita juga sediakan sistem untuk ibu bapa memantau anak mereka,” jelasnya.

Aplikasi Osem menawarkan kira-kira 2,000 soalan setiap minggu yang disediakan oleh lebih 17,000 guru seluruh Malaysia yang boleh didapati menerusi App Store dan Google Play Store.

 


Pengarang :