Petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat menyemak butiran individu yang berdaftar untuk menjalani saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Jugra, Banting. Foto Facebook PKD Kuala Langat
SELANGOR

3,000 individu di pusat penilaian Covid-19 Stadium Jugra disaring

SHAH ALAM, 13 FEB: Kira-kira 3,000 individu dengan majoritinya warga tempatan disaring di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Jugra, Banting sejak beroperasi 12 Januari lalu.

Pegawai Kesihatan Kuala Langat Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim berkata proses pengambilan sampel ujian calitan  dijalankan setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum.

“Saringan hanya untuk janji temu yang diberi kepada kontak rapat pesakit dan kes positif hasil ujian pantas antigen (RTK-Ag) dijalankan di klinik swasta.

“Setiap hari, sebanyak 120 saringan dilakukan daripada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan jumlah ini konsisten kerana mengikut kuota,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pusat itu diwujudkan bagi menampung keperluan peningkatan jumlah saringan selain langkah penambahbaikan ujian calitan yang lebih sistematik dan berpusat.

Menurutnya, orang awam juga boleh mengambil surat perintah pengawasan dan pemerhatian kontak rapat, surat pelepasan (Annex 17) selain mengambil serta memotong gelang kuarantin.


Pengarang :