Orang ramai hadir menjalani Saringan Komuniti percuma secara bersasar di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

729 penduduk Shah Alam jalani Saringan Komuniti percuma

SHAH ALAM, 17 FEB: Seramai 729 individu menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seskyen 19 di sini, hari ini.

Pegawai Tadbir Hal Ehwal Komuniti Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO), Dr Nurul Solihin Nurul Hasnan berkata mereka terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak.

Menurut beliau, saringan dilakukan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi membolehkan keputusan diperoleh dalam tempoh 24 jam.

Wakil Operasi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor, Dr Nurul Solihin Nurul Hasnan

“Program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini dapat sambutan positif dan berjalan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Kami lihat banyak ibu bapa datang bawa anak kecil untuk buat saringan,” katanya yang turut menambah program berkenaan dikendalikan 20 petugas perubatan dari Klinik Selcare serta 11 petugas Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Saringan Komuniti bersiri dilaksanakan di beberapa lokasi seluruh negeri bagi menurunkan kadar jangkitan Covid-19.

Katanya, selepas Shah Alam, program diteruskan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang esok (18 Februari), bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my .

Orang ramai menunggu giliran untuk membuat pendaftaran sebelum melakukan saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :