Kontraktor melakukan kerja pembersihan pada program tanggungjawab sosial korporat anjuran KDEBWM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 3 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Agihan makanan pekerja lapangan KDEBWM selesai minggu ini

PETALING JAYA, 4 FEB: Sumbangan makanan kepada 8,432 pekerja lapangan KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.

Pengarah urusannya berkata bantuan beras kepada pemandu lori, kru kutipan dan pembersihan awam diagih sejak minggu lalu melalui pejabat cawangan 12 pihak berkuasa tempatan.

“Kita bantu mereka setakat termampu dan berharap sumbangan ini bertahan untuk tempoh satu atau dua bulan. Sebelum ini kita sudah agih teh, kopi, gula dan susu kepada mereka.

“Kita akan lihat apa lagi bantuan yang boleh disampaikan untuk bulan berikutnya sehingga hujung tahun,” kata Ramli Mohd Tahir pada program pembersihan sampah pukal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini semalam.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM1.3 juta untuk melaksanakan inisiatif Bakul Makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor diagihkan kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa PPR, orang asli serta pemandu lori sisa pepejal KDEBWM.

 


Pengarang :