Petugas Air Selangor menyenggara dan melaras tetapan PRV yang dipasang pada sistem agihan bekalan air untuk mengawal tekanan bekalan air bagi mengoptimakan bekalan dan mengelakkan kejadian paip pecah seterusnya mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil. Foto Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor peruntuk RM186 juta ganti paip, meter lama

SHAH ALAM, 3 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntuk sebanyak RM293 juta bagi mengurangkan kadar purata air tidak berhasil (NRW) sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM170 juta disalur untuk mengantikan paip lama sementara RM16 juta lagi bagi menukar meter lama dan rosak.

“Air Selangor juga akan menukar paip lama dan usang terutama dari jenis ‘asbestos cement’ sepanjang 150 kilometer menerusi Program Penggantian Paip Lama.

“Kami juga akan memasang 1,780 alat pengesan pada paip utama untuk mengesan kebocoran peringkat awal selain menggunakan 3,000 Alat Pengesan Kebocoran Kekal pada paip retikulasi di 60 zon pemeteran daerah,” katanya dalam kenyataan.

Suhaimi menjelaskan bagi memastikan usaha itu berjaya dilaksana, Pasukan Pakar Kebocoran dan Pemeriksa Kebocoran Air Selangor perlu mengesan sekurang-kurangnya 78,000 kes paip bocor.

Katanya, agensi berusaha untuk mengurangkan kadar NRW kepada 25 peratus pada 2025 dan 15 peratus menjelang 2049.

Beliau menambah sehingga kini pihaknya berjaya menurunkan kadar NRW kepada 28.6 peratus pada tahun lalu berbanding 29.7 peratus pada 2019.

“Kejayaan itu melebihi sasaran yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu pada kadar 29.2 peratus,” katanya.


Pengarang :