EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian mengambil sampel sisa besi ketika meninjau sebuah kilang haram di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air tercemar kolam kilang haram disedut elak henti tugas loji

HULU LANGAT, 14 FEB: Kerajaan Negeri sedang menjalankan kerja menyedut air tercemar dari kolam takungan sebuah kilang haram di Jalan Sungai Lalang bagi mengelakkan henti tugas loji rawatan air (LRA).

EXCO alam sekitar berkata tindakan itu dilaksanakan segera Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) susulan jaraknya dengan Sungai Semenyih sejauh 2.3 kilometer (km) dan jarak ke muka sauk Jenderam Hilir ialah 22 km.

Hee Loy Sian berkata MPKj mengesan limpahan air berwarna hitam di longkang Taman Semenyih Permata pada 11 Februari lalu dan siasatan awal mendapati limpahan itu berpunca dari kilang memproses sisa besi secara haram untuk dijadikan logam.

“Disebabkan itu, kita sudahpun menyita kilang terbabit dan pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian melihat sampel yang di ambil anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika meninjau sebuah kilang memproses sisa besi secara haram di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selaras dengan Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas), (Pindaan) 2020, pencemar sumber air boleh disabit kesalahan dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Loy Sian sebelum itu meninjau kilang yang dibina secara haram di Jalan Sungai Lalang bersama Pemangku Pengarah Luas, Haslinah Amer.

Turut hadir anggota MPKj, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata siasatan di tapak lokasi juga mendapati berlakunya peleburan sisa besi sehingga menghasilkan serbuk karbon kehitaman dan kemudian dibuang ke kolam berhampiran.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian meninjau kolam takungan air yang didapati tercemar dengan sisa besi ketika melawat kilang tersebut di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Buat masa ini sampel dari kolam berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia, selepas keputusan diperoleh baru kita akan putuskan cara untuk melupuskan sisa-sisa dari kolam
berkenaan.

“Diseru orang ramai untuk laporkan aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.

Semalam media melaporkan ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan hutan di Jalan Sungai Lalang berhampiran kawasan perundustrian Hi-Tech 6, Semenyih sebagai tapak pemprosesan timah.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan setelah MPKj mengesan terdapat kesan pencemaran di longkang berdekatan taman perumahan di situ.

Tindakan segera pihak berkuasa itu berjaya mengelakkan henti tugas di LRA seterusnya berpotensi berlakunya gangguan bekalan air.


Pengarang :