Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Akad nikah di masjid negeri PKP dibenarkan, kehadiran 20 orang

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan upacara akad nikah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran had maksimum 20 orang, tidak termasuk jurunikah serta saksi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun, urusan akad nikah ini di bawah bidang kuasa pejabat agama negeri  yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa agama negeri.

“Kita bersetuju dengan cadangan had maksimum seramai 20 orang,” katanya sambil menambah sebelum ini, hanya lima orang dibenarkan hadir bagi upacara akad nikah.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB), beliau berkata upacara pernikahan dibenarkan dengan kehadiran had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan satu meter dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), kehadiran tetamu adalah mengikut keluasan premis dengan syarat penjarakan fizikal satu meter.

Ismail Sabri berkata bagi pernikahan dan majlis resepsi untuk bukan Islam, perkara itu akan diumumkan Kementerian Perpaduan.

Aktiviti bengkel, kursus, latihan, ceramah dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) masih tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala di kawasan PKPP dan PKPB, ia dibenarkan beroperasi pada had 50 peratus kehadiran peserta berdasarkan kapasiti premis serta mematuhi syarat penjarakan fizikal satu meter.

Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, dan majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan sambutan kelahiran di kawasan PKP masih tidak dibenarkan manakala di kawasan PKPB, ia dibenarkan dengan had kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus mengikut kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, sementara di kawasan PKPP adalah dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal.

“Bagi majlis perkahwinan di kawasan terbuka seperti di kampung contohnya, yang disyaratkan adalah mesti ada penjarakan fizikal dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai pelitup muka, menyediakan QR Code dan buku kehadiran tetamu,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Berhubung aktiviti pelancongan dan kebudayaan, Ismail Sabri berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

“Semua peniaga dinasihatkan merujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pada dasarnya, banyak aktiviti di kawasan PKPB dan PKPP telah dibenarkan untuk dibuka,” katanya.

Beliau juga berkata berkaitan sektor pendidikan dan sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman berhubung aktiviti dan SOP masing-masing sepanjang pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.

 


Pengarang :