AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anak Selangor dipelawa mohon hadiah masuk universiti, dapat RM1,000

SHAH ALAM, 28 FEB: Anak Selangor dalam kalangan keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah boleh memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) berjumlah RM1,000 mulai esok.

Yayasan Selangor berkata pemohon mesti pelajar tahun pertama yang menerima tawaran pengajian sepenuh masa ijazah sarjana muda, diploma serta sijil kemahiran tahap empat di IPT awam dan swasta.

“Selain lahir di Selangor, mereka pemastautin di Selangor lebih setahun juga boleh memohon. Syarat lain adalah warganegara dan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi hpipt.selangor.gov.my mulai 1 Mac sehingga 31 Mac,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut yayasan, dokumen sokongan boleh dihantar ke Urus Setia HPIPT Bahagian Sumber Manusia, Tingkat 3 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40503 Shah Alam, Selangor.

Inisiatif HPIPT dilaksanakan sejak 2008 untuk meringankan beban pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta.


Pengarang :