Rusia mengumumkan pendaftaran vaksin Covid-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Anwar: Pengurusan lemah punca lewat terima vaksin

SHAH ALAM, 3 FEB: Malaysia dianggap ketinggalan dalam hal penerimaan vaksin Covid-19 berbanding negara jiran yang memasuki pusingan kedua pemberian dos itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelewatan itu dikhuatiri akibat pengurusan dan tatakelola kerajaan Perikatan Nasional yang lemah.

Ketua pembangkang menegaskan kerajaan juga dilihat tidak ada strategi jelas berhubung kos dan tender agihan vaksin untuk imuniti rakyat.

“Mengapa Indonesia dan Singapura dapat mengambil tindakan awal serta memulakan suntikan vaksin kepada rakyat tetapi kita masih terkebelakang?

“Dengan pakai payung darurat, masing-masing (kerajaan) buat keputusan tanpa tender dan ini membimbangkan kerana terkait isu pengurusan kerajaan,” katanya melalui siaran langsung Facebook.

Pengerusi Pakatan Harapan berkata penularan Covid-19 pada tahap merungsingkan, malah angka 4,000 hingga 5,000 kes sehari menjadi “kebiasaan”.

Justeru, Anwar menggesa saringan dilakukan lebih meluas dengan menumpukan kilang dan kawasan sesak yang menyumbang peningkatan kes dan kluster baharu.

“Ketelusan kerajaan itu tiada, semua rebut kontrak jabatan politik tanpa fikir masalah rakyat. Isu virus ini tidak boleh lari dari pengurusan kerajaan yang lemah,” tegasnya lagi.


Pengarang :