Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar tidak setuju naikkan kompaun ingkar SOP

SHAH ALAM, 3 FEB: Ketua pembangkang tidak bersetuju cadangan menaikkan kadar denda terhadap individu yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguatkuasaan lebih jelas diperlukan bagi mengatasi isu berkenaan supaya tidak menjejaskan golongan bawahan.

“Tiada masalah jika pihak berkuasa ambil tindakan tegas siapa tidak pakai pelitup muka tetapi bukan sekadar menaikkan kadar denda yang akan menimbulkan situasi dua darjat.

“Naikkan (kompaun) bukan keutamaan tetapi penguatkuasaan harus jelas, jika menteri sendiri tidak ikut SOP dan tidak kena tindakan, rakyat akan kata ada darjat,” katanya melalui siaran langsung Facebook.

Polis sebelum ini berpendapat sudah tiba masanya nilai denda kerana ingkar dan melanggar SOP perintah kawalan dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Anwar berkata kelewatan bayaran elaun kepada petugas hadapan tidak boleh dimaafkan setelah mereka bertarung nyawa merawat pesakit Covid-19.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga mendakwa kerajaan sehingga kini tidak mempunyai keputusan jelas bagi mengatasi penularan wabak dalam negara.

“Kelemahan kerajaan ialah tiada pendirian sekali gus menimbulkan keraguan banyak pihak. Bukan makna kita perkecilkan usaha mereka tetapi bimbang jika lewat diatasi, isu ini kian gawat,” katanya lagi.


Pengarang :