Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Sinar Budi di Batu Kawa Kuching, Sarawak pada 19 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir landa tiga daerah di Sarawak, 755 mangsa dipindah

KUCHING, 19 FEB: Banjir yang melanda tiga kawasan di negeri ini iaitu Kuching, Lundu dan Samarahan menyebabkan 755 mangsa daripada 211 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, tiga PPS yang dibuka di Kuching ialah di Dewan Kampung Sinar Budi Baru yang menempatkan 280 mangsa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Sungai Tengah (85 mangsa) dan Dewan Masyarakat Stapok (56 mangsa).

Di Lundu, sebuah PPS dibuka di Balai raya Kampung Paon, Sematan bagi menempatkan 995 mangsa sementara Samarahan pula menyaksikan lima PPS beroperasi iaitu di Balai raya Kampung Sungai Empit (35 mangsa), Dewan Suarah Kota Samarahan (31 mangsa), Dewan Masyarakat Kampung Pangkalan Kuap (152 mangsa), Surau Kampung Bukit Berangan (enam mangsa) dan Balai raya Kampung Merdang (11 mangsa).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman ketika dihubungi Bernama berkata sekurang-kurangnya 21 kawasan di Kuching, Lundu dan Samarahan dilanda banjir hari ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi hingga pagi ini.

Bagaimanapun, keadaan banjir di kebanyakan kawasan sudah pulih, katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu Putra Ila ketika dihubungi berkata keadaan banjir di Lundu dan Sematan sudah beransur surut, namun setakat 6 petang tadi hujan renyai mulai turun.

– BERNAMA


Pengarang :