BERITA UTAMARENCANA

Bantu siar kandungan, 15 pempengaruh dilantik jaya Selangor Freelance

SHAH ALAM, 25 FEB: Seramai 15 pengguna media sosial berpengaruh akan membantu menyiarkan kandungan di media sosial bagi menjayakan program pekerjaan sambilan Selangor Freelance.

Dilaksanakan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), inisiatif belanjawan 2021 dipercepatkan bawah Pakej Kita Selangor bagi menyerapkan kesan negatif kelembapan ekonomi akibat Covid-19.

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej berkenaan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) memaklumkan sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan fasa satu program itu.

Dengan peruntukan RM10 juta, PNSB juga sedang menilai cadangan kerjasama dari beberapa rakan teknologi yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Selain Selangor Freelance, anak syarikat Kerajaan Negeri itu ditugaskan menjayakan program merakyatkan teknologi telekomunikasi terkini Inisiatif Rakan Digital Selangor (RDS) dengan peruntukan RM3 juta.

Menurut UPEN lagi, syarikat tersebut sedang membangunkan laman sesawang, menyiapkan bahan pemasaran dan menentukan lokasi RDS.

Melalui program ini, 1,000 individu yang dilantik bakal membimbing khususnya warga luar bandar menggunakan aplikasi digital dalam kehidupan harian bagi memudahkan pendidikan dan kerja sambilan.

Bagi mengurus perkembangan semasa kes Covid-19, Kerajaan Negeri membangunkan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) dan Pusat Kecemerlangan Smart Selangor (CoE2) dengan kos keseluruhan RM7.5 juta.

UPEN juga menjelaskan SSOC ditugaskan memantau kemajuan pelaksanaan Pakej Kita Selangor, yang membawa kesan kewangan RM73.9 juta seperti diumum pada 20 Januari lalu.

Unit Pengurusan Bencana Negeri dan Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri memulakan operasi di SSOC pada 1 Februari.

Inisiatif ini juga memberi manfaat kepada Pasukan Petugas Operasi Pencegahan Covid-19 (STFO) dan agensi pelaksana projek negeri pintar Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Selain itu, STFO juga mula beroperasi di CoE2 sejak 8 Februari lalu.


Pengarang :