AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM peruntuk RM2 bilion kemudahan bantuan, pemulihan bersasar

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) berjumlah RM2 bilion serta penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2021 sebanyak RM200 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata peruntukan tambahan TRRF itu meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM4 bilion dan ia akan disediakan sehingga 31 Disember, 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, yang mana terdahulu.

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kini boleh memohon TRRF, tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.

“Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan Penjana yang ada,” katanya.

Sementara itu, DRF 2021 dengan peruntukan sebanyak RM200 juta ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

Bank pusat berkata DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan.

“Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun, termasuk moratorium selama enam bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50 peratus setahun, termasuk fi jaminan,” jelas BNM.

Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai, 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.

Bank pusat berkata perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

PKS dalam sektor lain boleh mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di bawah Dana BNM untuk PKS, tambahnya.

Keterangan lanjut mengenai dana ini boleh didapati di www.bnm.gov.my/covid19/ atau orang ramai boleh menghubungi BNM di bnm.my/LINK .

Maklumat lanjut mengenai DRF 2021 boleh didapati di www.bnm.gov.my/sme-financing .

– BERNAMA


Pengarang :