Pelanggan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar Shah Alam pada 14 Oktober 2020. Pembelian makanan digalakkan secara bungkus dan pemakanan di premis hanya terhad dua orang satu meja. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Boleh makan lebih dua orang semeja tetapi patuhi SOP

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan makan di restoran melebihi dua orang dengan syarat mengikut kesesuaian saiz meja di semua negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (keselamatan) berkata dengan tatacara operasi piawai (SOP) baharu itu, peraturan hanya dua orang dihadkan satu meja tidak lagi dikuatkuasakan bermula esok (19 Februari).

Katanya SOP penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain dikekalkan.

Ismail Sabri berkata peraturan kebenaran makan di premis makanan berdasarkan keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter turut dilaksanakan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Mesyuarat bersetuju semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP dibenarkan ‘dine in’ dengan kebenaran makan berdasarkan keluasan meja dan adanya penjarakan fizikal satu meter,” katanya pada sidang media mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Bermula 19 Februari, sebanyak empat negeri masih berada dalam PKP untuk dua minggu lagi iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.


Pengarang :