AGENDANASIONAL

Borang persetujuan suntikan vaksin yang tular bukan borang muktamad

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang tular melalui media sosial baru-baru ini, bukan merupakan borang persetujuan yang muktamad yang akan diguna pakai dalam pemberian suntikan vaksin berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad, akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.

“Memandangkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 adalah secara sukarela, maka borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin, bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati.

Borang persetujuan juga digunakan di negara-negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi Covid-19. Penerimaan vaksin ini adalah secara ‘opt-in’ di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin, perlu menandatangani borang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kandungan di dalam borang persetujuan adalah untuk memastikan bahawa penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota (petugas) kesihatan, mengenai manfaat dan risiko vaksin.

Sehubungan itu beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat, yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Salinan borang persetujuan yang tular berkenaan antara lain menyatakan, individu yang bakal menerima suntikan haruslah memahami bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas risiko yang berlaku selepas mengambil vaksin, selain vaksin tidak memberi jaminan kepada individu untuk tidak mendapat jangkitan Covid-19 pada masa akan datang.

Jelas Dr Noor Hisham, semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya, oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Malah katanya melalui pelaporan yang diperolehi dari negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin Covid-19, vaksin ini adalah selamat digunakan.

Malaysia akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Feb ini, dengan sasaran 80 peratus penduduk bersamaan 26 juta individu untuk menerima suntikan vaksin secara percuma, menerusi tiga fasa.

Vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada Ahad ini.

– BERNAMA


Pengarang :