AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, sentimen berhati-hati

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sentimen berhati-hati di pasaran terutama menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai prestasi ekonomi negara untuk suku keempat 2020 hari ini menyaksikan Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.30 mata kepada 1,595.55 daripada 1,596.85 ketika ditutup petang Rabu.

Indeks utama memulakan urus niaga 5.34 mata lebih tinggi pada 1,602.19.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 224 berbalas 194 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,493 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 204.39 juta unit bernilai RM91.94 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya menyatakan peserta pasaran mungkin mengurangkan aktiviti urus niaga masing-masing sebelum cuti hujung minggu yang panjang bermula.

“Oleh itu, FBM KLCI mungkin berada dalam mod julat yang kecil sepanjang sesi hari ini,” tambahnya.

Firma broker itu turut menjangkakan sektor tenaga akan terus fokus di celah-celah pengukuhan minyak mentah Brent yang diniagakan melepasi paras AS$60 setong.

“Juga, sektor bertema pemulihan seperti sektor perbankan, penerbangan dan permainan mungkin masih berada dalam perhatian pelabur sekurang-kurangnya untuk minggu ini,” tambahnya.

Sementara itu, Bursa Malaysia telah mengumumkan urus niaga separuh hari pada Khamis dan ditutup pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Bursa Malaysia turut berkata urus niaga pada 11 Februari akan dibuka pada sesi pagi sahaja dan tiada urus niaga pada sesi petang.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan kembali beroperasi pada 15 Februari.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.01, PBBank naik dua sen kepada RM4.24, PChem susut 10 sen kepada RM7.46 dan Tenaga meningkat lima sen pada RM9.80.

Antara kaunter paling cergas pula, SAPNRG dan DNex masing-masing meningkat setengah sen kepada 13 sen dan 34.5 sen sementara Kanger, AAX, Yongtai dan IStone semuanya tidak berubah, masing-masing pada 10.5 sen, dua sen, tujuh sen, 23 sen dan 24 sen.

Saham paling untung, BAT menambah 46 sen kepada RM13.62, MPI naik 42 sen kepada RM36.70, Carlsbg meningkat 28 sen kepada RM22.62 dan KAB lebih tinggi 24 sen pada 1.26.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 0.88 mata kepada 11,617.66, Indeks FBMT 100 jatuh 2.95 mata kepada 11,342.27 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 2.75 mata kepada 13,050.21.

FBM ACE jatuh 22.61 mata kepada 10,725.34 tetapi FBM 70 meningkat 20.35 mata kepada 15,181.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 1.72 mata kepada 15,023.53 tetapi Indeks Perladangan turun 22.69 mata kepada 7,161.50 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun satu mata kepada 179.33,

– BERNAMA


Pengarang :