AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada keuntungan semalaman di Wall Street serta makluman terkini kerajaan Malaysia mengenai program pemvaksinan Covid-19 yang dijadual dilancarkan menjelang akhir Februari ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.64 mata kepada 1,588.54 daripada 1,584.90 ketika ditutup petang Khamis.

Indeks utama dibuka 2.8 mata lebih tinggi pada 1,587.70.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 272 berbalas 129 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 252.31 juta unit bernilai RM128.41 juta.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Khamis mengumumkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh syarikat Pfizer dan BioNTech akan diberikan secara percuma kepada 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu.

“Pengumuman itu berserta prestasi positif semalaman di Wall Street mampu meningkatkan sentimen secara keseluruhan di pasaran tempatan,” ujar Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya hari ini.

Ia berkata saham berharga rendah akan terus menikmati momentum kenaikan kerana kecairan kekal baik di pasaran ekuiti.

Bagi fokus sektor hari ini, firma pembrokeran itu berkata memandangkan aktiviti ekonomi mungkin akan dimulakan kembali dalam masa terdekat, pihaknya menjangkakan minat perdagangan mungkin berkembang dalam lingkungan sektor yang sedang pulih seperti pembinaan, bahan binaan, hartanah dan pertaruhan.

“Sementara kaunter berkaitan teknologi, perabot dan vaksin akan terus rancak,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.93, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.09, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM7.30 dan Tenaga tujuh sen lebih tinggi pada RM9.77.

Saham paling cergas pula, Mtouche tidak berubah pada lima sen, Solution Group turun empat sen kepada RM1.45 dan QES naik dua sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 31.25 mata kepada 11,561.51, Indeks FBMT 100 menambah 29.06 mata kepada 11,291.90 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 35.59 mata kepada 13,130.50.

FBM 70 menokok 51.18 mata kepada 15,112.13 dan FBM ACE meningkat 50.11 mata kepada 10,966.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.03 mata kepada 175.74 sementara Indeks Perladangan melonjak 7.01 mata kepada 7,214.78.

– BERNAMA

 


Pengarang :