AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia diunjur urus niaga tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Urus niaga di Bursa Malaysia dijangka bergerak tinggi minggu depan, dirangsang oleh program vaksinasi Malaysia yang akan bermula pada Jumaat depan dengan vaksin pertama dijadual tiba pada 21 Februari 2021.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata jangkaan itu akan kekal sedemikian sekiranya program vaksinasi ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Menurut beliau, para pelabur begitu cenderung ke arah kehendak risiko yang kuat terhadap ekuiti tempatan dan oleh yang demikian, aktiviti urus niaga dijangka bergerak tinggi minggu depan.

“Dengan itu, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kemungkinan mampu melantun kembali untuk mencecah 1,600 mata sementara ringgit pula boleh terus mengukuh berbanding dolar AS kepada paras RM4.02-RM4.03 bagi seunit dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama semalam.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) yang dilancarkan pada Selasa akan menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai pengambilan suntikan vaksin pada 26 Feb bersama-sama petugas barisan hadapan yang lain.

Program ini dijadualkan berlanjutan sehingga Februari tahun depan.

Sementara itu, urus niaga di Bursa Malaysia dibuka separuh hari pada Khamis dan ditutup sepenuhnya pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Berdasarkan kepada perbandingan mingguan, indeks penanda aras FBM KLCI menyusut 14.49 mata kepada 1,584.93 daripada 1,599.42 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 20.21 mata kepada 11,641.61 dan Indeks FBMT 100 susut 59.7 mata kepada 11,320.34.

FBM 70 naik 87.7 mata kepada 15,359.35 dan Indeks FBM ACE melonjak 365.39 mata kepada 11,248.62 tetapi Indeks FBM Emas Syariah menyusut 1.16 mata kepada 13,119.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 165.69 mata kepada 14,872.78 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.7 mata kepada 182.27 dan Indeks Perladangan naik 43.36 mata kepada 7,189.05.

Indeks Tenaga meningkat 85.15 mata kepada 946.95, Indeks Teknologi naik 2.24 mata kepada 89.91 tetapi Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 20.57 mata kepada 3,451.54.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 61.61 bilion unit bernilai RM28.79 bilion daripada 3.21 bilion unit bernilai RM2.04 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat 40.97 bilion units bernilai RM23.49 bilion berbanding 2.23 bilion unit bernilai RM1.65 bilion minggu lepas.

Jumlah dagagan waran menambah 1.66 bilion unit bernilai RM248.97 juta daripada 184.12 juta unit bernilai RM30.39 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di pasaran ACE mengukuh 18.96 bilion unit bernilai RM5.04 bilion saham daripada 787.86 juta unit bernilai RM359.04 juta.

– BERNAMA


Pengarang :