Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, mempelajari teknik dan kaedah menjawab soalan peperiksaan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ketika tinjauan pada 5 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cadangan tambah subjek elektif dalam eptrs.my akan dibincang

BANTING, 5 FEB: Cadangan memuatkan mata pelajaran elektif dalam portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

Jurucakap PTRS berkata usul itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan berikutan pelaksanaannya membabitkan peruntukan tambahan.

“Kalau boleh kita mahu semua mata pelajaran disediakan, tetapi bergantung pada bajet kerana apa yang ada sudah memadai untuk menjentik hati anak-anak belajar bagi memperoleh kejayaan.

“Malah, kita mahu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mempunyai bilangan kredit yang cukup untuk melangkah ke fasa pengajian seterusnya,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, subjek tambahan dicadangkan meliputi matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan sains komputer untuk SPM selain ekonomi serta pengurusan perniagaan untuk STPM.

Jurucakap itu menjelaskan penambahan subjek melalui portal pendidikan itu sebagai salah satu pendekatan meningkatkan jumlah penyertaan pelajar terutama calon peperiksaan utama di negeri ini.

Beliau juga percaya hasrat itu akan dipenuhi berpandukan kepada komitmen Kerajaan Selangor yang mendahului negeri lain dalam menyediakan sistem sokongan pendidikan untuk pelajar pada era pandemik Covid-19.

“Program tuisyen ini melalui transformasi kerana sekarang sudah ada modul dan menapak satu langkah lagi dengan wujudnya eptrs.my.

“Sudah tentu usaha sebegini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan pelajar,” katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM manakala Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.


Pengarang :