Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

CAP gesa pantau harga saringan Covid-19 di klinik swasta

GEORGE TOWN, 7 FEB: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengawal harga ujian saringan Covid-19 di klinik swasta supaya ia berpatutan.

Pegawai Pendidikan CAP N V Subbarow berkata harga ujian RT-PCR dan RTK-Antigen di klinik swasta ketika ini antara RM220 hingga RM388 (RT-PCR) dan RM90 hingga RM170 (RTK-Antigen).

“CAP bimbang jika ia tidak dikawal caj yang dikenakan oleh klinik swasta untuk ujian saringan Covid-19 dikenakan lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Kami (CAP) mengalu-alukan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kawalan harga untuk ujian saringan Covid-19 di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga meminta KKM dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan tersebut.

Katanya jika harga ujian saringan itu tidak dikawal pengguna akan terbeban dengan caj berlebihan yang dikenakan oleh klinik swasta seperti isu pelitup muka yang pernah berdepan dengan masalah harga apabila terdapat peniaga menaikkan harga pelitup muka tanpa kawalan.

Sebelum ini, KKM memaklumkan dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital dan klinik swasta serta pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat.

– BERNAMA


Pengarang :