Ibu bapa dilihat membeli komputer riba dan tablet bagi kemudahan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan semua sekolah ditutup susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah pusat membeli belah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

CAP nasihat waspada beli peranti ketika pandemik, elak ditipu

GEORGE TOWN, 3 FEB: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai untuk berhati-hati ketika membeli peranti seperti komputer riba atau komputer ketika pandemik Covid-19, bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, permintaan tinggi terhadap penggunaan kedua-dua peranti itu untuk keperluan perniagaan dan pembelajaran dalam talian mendorong peningkatan aktiviti penipuan.

Beliau berkata, sekiranya pengguna memilih untuk mendapatkan peralatan terpakai atau yang diperbaharui, mereka perlu membelinya daripada sumber yang boleh dipercayai dengan penjual yang tinggal berdekatan serta mengelakkan melakukan pembelian daripada sumber yang tidak diketahui di media sosial.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena (dengan produk), pengguna dengan mudah dapat menemui penjual itu berbanding penjual yang tinggal jauh. Terdapat kes pembeli membeli barang elektronik dari negeri lain dan mendapati peralatannya rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna agar tidak membuat keputusan terburu-buru ketika membeli peralatan yang diperlukan, dan meminta nasihat daripada seseorang yang berpengetahuan dalam bidang berkaitan, sebelum membuat sebarang perjanjian pembelian.

“Penipu atau mereka yang suka mengambil kesempatan menyasarkan orang yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya. Oleh itu, kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati, apabila membeli komputer riba atau komputer,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :