Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cegah penularan virus, SELangkah-MySejahtera perlu kongsi data

SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan persekutuan perlu mewujudkan sistem pengesanan pantas untuk mencegah penularan Covid-19 terutama kluster baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kaedah digunakan ketika ini lebih tertumpu kepada perebakan, bukan memutuskan rantaian wabak sebelum menular dalam komuniti.

“Kerajaan Negeri berpendapat antara langkah segera yang wajar diambil adalah melaksanakan integrasi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan MySejahtera atau berkongsi data terkini.

“Mesti ada cara memastikan sistem pengesan lebih pantas, ini antara perkara yang akan saya bincangkan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba,” katanya menerusi Program Agenda Awani bertajuk ‘Strategi Selangor Perangi Lonjakan Kes Covid-19’ malam tadi.

Beliau juga meminta kerajaan persekutuan berkongsi data atau maklumat terkini bagi memudahkan mobilisasi dan langkah pencegahan segera.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata fungsi aplikasi SELangkah ditambah baik bagi membantu pengawasan kendiri pesakit Covid-19.

Pembaharuan dengan kerjasama Selgate Healthcare melibatkan talian khas dan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit kendiri.


Pengarang :