Dr Siti Mariah meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang pada 18 Februari 2021. Foto: Facebook Siti Mariah
EXCOSELANGOR

Covid-19: 10,000 saringan percuma dilaksana, sasar 50,000 tahun ini

SHAH ALAM, 18 FEB: Sebanyak 10,000 ujian saringan Covid-19 percuma dilaksana Kerajaan Selangor terhadap penduduk negeri ini sejak Januari lalu.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya menyasarkan 50,000 individu disaring sepanjang tahun ini dengan membabitkan RM6 juta kos saringan.

Jelasnya, inisiatif itu terus dilakukan sehingga kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) di negara ini turun.

“Tidak dinafikan bila lebih banyak saringan dilakukan, maka kes akan naik, namun penduduk tidak perlu panik kerana peratusan positif adalah rendah.

“Namun disebabkan Selangor mempunyai penduduk ramai iaitu kira-kira 6.7 juta, maka tidak mustahil jumlah itu dilihat lebih banyak berbanding negeri lain, walau apapun kita terus komited melaksanakan saringan dalam komuniti untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang.

Menurut Dr Siti Mariah lagi, selain komuniti, saringan bersasar itu turut dilaksanakan di rumah-rumah penjagaan warga emas berdaftar dan tidak berdaftar.

“Selepas tamat saringan berkenaan, kita akan fokuskan ke pusat dialisis pula,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma sekali gus memberi manfaat kepada 50,000 rakyat.

Program itu memfokuskan golongan sasaran seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri.

Tidak ketinggalan ialah kumpulan berpendapatan rendah (B40), dan mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :