Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 2,936 kes baharu, 13 kematian dan 13 kluster dilapor

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Sebanyak 2,936 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara sebanyak 277,811 setakat ini, selain 13 lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes sembuh harian pula terus mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding kes positif harian iaitu 4,889 kes hari ini menjadikan jumlah sembuh keseluruhan hingga kini sebanyak 239,971 kes.

Katanya kes aktif pula setakat ini ialah sebanyak 36,797 kes.

Daripada jumlah kes baharu harian itu, 17 merupakan kes import melibatkan empat warganegara dan 13 warga asing, katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Selangor, katanya terus mencatatkan kes harian baharu tertinggi, iaitu sebanyak 978 kes dengan 722 melibatkan kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19.

Ini diikuti Johor sebanyak 730 kes, Kuala Lumpur (227), Sarawak (199), Negeri Sembilan (191), Pulau Pinang (188), Perak (155), Sabah (101), Kelantan (38), Terengganu (37), Kedah (36), Melaka dan Pahang masing-masing 26 kes, Putrajaya (tiga) dan Labuan (satu).

Mengenai 13 kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata enam kes di Kuala Lumpur, Selangor (tiga), Sarawak (dua) serta masing-masing satu kes di Melaka dan Johor, dengan lingkungan umur 53 hingga 84 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 13 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan 10 daripadanya berkaitan tempat kerja, dua melibatkan komuniti dan satu membabitkan kumpulan berisiko tinggi, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 511.

Katanya daripada 10 kluster baharu di tempat kerja, lima dikesan di Johor iaitu Jalan Kota Murni, Jalan Murni 12, Jalan Tun Mutahir, Jalan Indah Utama dan Parit Haji Khamis; dua di Selangor (Kompleks Perabut dan Jalan Sementa) dan masing-masing satu di Sabah (Singgahmata), Sarawak (Kejatau) serta Kuala Lumpur (Jalan Kuchai).

Kluster komuniti pula ialah Jalan Green di Sarawak dan Bukit Petiti di Terengganu, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Terengganu iaitu Kluster Kubang Jambu.

Dr Noor Hisham berkata 109 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dengan Kluster Jalan Murni 12 merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 339 kes, diikuti Kluster Jalan Perindustrian Pelepas (179) dan Kluster Industri Tekstil Nilai (113).

Katanya sebanyak 547 kluster dilaporkan tamat setakat ini termasuk lapan pada hari ini iaitu Kluster Halban, Kluster Tombovo, Kluster Kauran, Kluster Kubang Bujuk, Kluster Tapak Bina Jalan Yap, Kluster Jalan Perwira, Kluster Jalan Indah Gemilang dan Kluster Tembok Nanas.

– BERNAMA


Pengarang :