Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 3,847 kes baharu, kes aktif kini lebih 50,000

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Sebanyak 3,847 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini mencecah 50,894.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh harian ialah 1,692 kes menjadikan kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 186,970 atau 78.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara kini mencecah 238,721 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat empat kes import melibatkan warga tempatan yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 3,843 kes, melibatkan 2,569 warga tempatan dan 1,274 warga asing,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,481 kes diikuti Johor (585 kes) dan Kuala Lumpur (402).

Ia diikuti Melaka (329 kes); Sabah (233); Pulau Pinang (211); Sarawak (185); Negeri Sembilan (133); Kedah (64); Kelantan (62); Terengganu (56); Pahang (48); Perak (36); Labuan (10); Putrajaya (lapan) dan Perlis dengan empat kes.

Dr Noor Hisham berkata seramai 305 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 139 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 12 kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian ialah 857 orang.

Kes kematian hari ini melibatkan tujuh lelaki dan lima wanita dalam lingkungan 38 hingga 84 tahun dengan 11 daripada mereka berpenyakit.

Katanya, 12 kluster baharu pula dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 441 dengan 93 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 12 kluster baharu itu, 11 membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Gong Nering di Terengganu; Jalan Chester (Sabah); Tapak Bina Sungai Besi (Kuala Lumpur) dan Jalan Bayu Satu, Jalan Istimewa Tujuh serta Jalan Tun Mutalib di Johor.

Kluster Gudang Salak Tinggi, Industri Kampung Baru, Lingkaran Cyber, Jalan Banting – Klang dan Jalan Kuala Selangor dilaporkan di Selangor manakala baki satu kluster lagi ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Kubur Darau di Besut, Terengganu.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Industri Serkam (257 kes), Kluster Industri Kampung Baru (167 kes) dan Kluster Mayang Pasir (102 kes).

Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 447 kluster termasuk lima kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Rapat, Kluster Jalan SEDCO, Kluster Rambai, Kluster Jalan Nikolas dan Kluster Ria-30,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :